BENTONG – “Banyak kebaikan dilakukan Allahyarham yang tidak diketahui umum, malah saya sendiri pun tidak tahu keseluruhannya. Namun, apa kebajikan yang dilakukannya, saya akan teruskan.”
Demikian kata-kata Nurul Qomar Abdol Talib @ Ramali, 38, adik kepada Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Menurut Nurul Qomar, abangnya itu sangat aktif dalam pelbagai kerja kemasyarakatan dan kebajikan di daerah ini sepanjang hayat hidupnya, walaupun bukan semua kebajikan yang dilaksanakan itu diketahui umum.
“Sebenarnya benda ini saya tak nak cerita, biar perkara itu rahsia dia dengan ALLAH SWT.
“Antaranya, dia (Allahyarham Idris) ada membantu sebuah keluarga mualaf dipercayai dari Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Saya sendiri yang hantar sejadah, al-Quran, sebab itulah saya tahu mengenai perkara ini.
“Malah, dia juga ada menyumbang bantuan bulanan kepada bapa tunggal bersama tiga anaknya pada tahun ini yang kini difahamkan telah memeluk Islam, dan bantuan ini akan diteruskan,” katanya ketika ditemui ketika pengebumian Allahyarham Idris di Tanah Perkuburan Barak Benus, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Nurul Qomar berkata, dia antara yang paling rapat dengan Allahyarham selain abang sulung dan adik bongsunya.
Katanya, akhir-akhir ini Allahyarham banyak bergurau dalam kumpulan aplikasi WhatsApp berbanding sebelum ini.
Katanya, dua hari sebelum kejadian, Allahyarham Idris banyak mengusik rakan-rakan dan kali terakhir mereka jumpa pada Selasa lalu.
“Kami reda dengan kehilangan tersebut. Malah, bila melihat ketenangan yang ditunjukkan mak dan ayah yang dengan apa yang berlaku, banyak memberi kekuatan terhadap kami untuk menghadapi ujian ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE