KLANG – Penantian waris dan ahli keluarga nahas pesawat Beechcraft Model 390 bagi penyerahan jenazah berakhir apabila kesemua baki sembilan mayat diserahkan pada hari ini.
Ini melibatkan juruterbang, Shahrul Kamal Roslan berusia 41 dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim (45).
Turut diserahkan jenazah bagi enam penumpang pesawat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun (53); Muhammad Taufik Mohd. Zaki (37): Khairil Azwan Jamaludin (43), Shaharul Amir Omar (49); Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi (35) dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.
Seorang lagi adalah pemandu aplikasi E-hailing, Sharipudin Shaari (51).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini selepas pihaknya telah menerima keputusan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap sampel sebelum ini.
Katanya, perkara itu telah diputuskan malam tadi dengan kesemua mangsa telah dikenalpasti dan diserahkan kepada wakil waris.
“Dengan itu polis, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Jabatan Kimia selesai tugas operasi proses pengecaman mayat ini pada hari ini.
“Seterusnya pasukan Jabatan Agama Islam Selangor akan menerima jenazah pagi ini dan akan uruskan pengurusan mayat termasuk solat jenazah dan diatur ke destinasi yang diminta waris atau keluarga mereka.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan bantuan trafik sehingga sampai destinasi (yang diminta waris),” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! setakat pukul 10 pagi mendapati hanya tinggal lagi jenazah nahas masih menunggu proses untuk pengeluaran daripada Jabatan Forensik HTAR. – KOSMO! ONLINE