KAJANG – Mayat seorang lelaki tempatan dalam proses pereputan ditemui di sebuah pangsapuri, Jalan Penghulu Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis berhubung bantuan mengangkat mayat pada pukul 11.26 malam.
Katanya, sebanyak tujuh anggota serta dua jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kajang ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan tersebut.
“Pihak kami memberikan bantuan mengangkat mayat seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dipercayai tinggal seorang diri di tingkat empat kediaman tersebut.
“Keadaan mayat membengkak dan sedang dalam proses pereputan berada di atas katil telah dikeluarkan sebelum diserahkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE.