fbpx

Luahan rasa pelatih industri gen Z

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYIMA berasa terganggu apabila sering diperli pekerja-pekerja senior yang suka mempersoalkan cara kerjanya. – GAMBAR HIASAN

“KENAPA orang suka perlekehkan generasi kami?” keluh Syima (bukan nama sebenar) membuka bicara.

Dari riak mukanya yang berkerut, nampak jelas dia sedang melalui hari yang memenatkan selepas menjalani latihan industri di sebuah syarikat tempatan.

Latihan industri selama tiga bulan tersebut merupakan salah satu syarat wajib bagi memenuhi keperluan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di universitinya.

Ujar Syima, pekerja senior di tempat latihan industrinya itu suka mengaitkan dirinya dengan stereotaip berkaitan generasi Z iaitu mereka yang lahir antara 1996 dan 2010.

Antara sifat negatif yang sering disebut-sebut adalah lemah dari segi mental, tidak tahu adab pergaulan asas dalam dunia pekerjaan dan tidak produktif.

“Kadang-kadang saya bosan dengan lawak senior-senior yang asyik perli saya dengan stereotaip tentang Gen Z.

“Saya sering dijadikan topik perbualan mereka, terutama berkaitan cara kerja yang dikatakan tidak seperti zaman mereka dahulu,” katanya.

Mengimbau salah satu insiden, Syima berkongsi, dia pernah diperli kerana sentiasa bermain dengan telefon pintar.

Menurut salah seorang pekerja senior, generasi sekarang tidak serius dalam pekerjaan dan malas.

Perkara itu membuatkan Syima sedih dan terkilan dengan tuduhan tidak berasas.

Tambah gadis kelahiran Johor itu, tujuan dia menggunakan telefon adalah untuk mencari maklumat.

Syima pernah dipersenda hanya kerana dia mencari maklumat daripada telefon bimbit. – GAMBAR HIASAN

Ini kerana mendapat maklumat daripada internet lebih mudah berbanding bergantung pada tunjuk ajar pekerja senior.

“Setiap kali saya tanya pekerja senior tentang perkara yang saya tidak faham, mereka suruh saya cari maklumat sendiri dan jangan asyik harap disuap.

“Jadi, inisiatif saya adalah cari maklumat menerusi YouTube atau TikTok. Tak mungkin saya perlu ke perpustakaan demi maklumat yang boleh dapat di hujung jari kan?” kesalnya.

Tambah pelajar berusia 22 tahun itu, dia terbuka untuk belajar benda baharu daripada mereka-mereka yang lebih berpengalaman.

Namun, dia juga berharap mereka yang lebih berpengalaman mahu belajar daripada generasi baharu terutama berkaitan dengan teknologi.

“Memang benar mereka banyak ‘makan garam’, tapi bila berkaitan dengan teknologi, kami lebih mahir. Tidak salah kalau kami saling bekerjasama berbanding perli-memerli seperti budak-budak,” bentaknya.

Kesan daripada tekanan asyik distereotaip, anak bongsu daripada tiga beradik itu sering meluangkan masa sendirian termasuk ketika makan tengah hari.

Katanya, menambah lagi tekanan buat dirinya apabila tiada elaun diterima, namun banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Pekerja senior tidak mengapalah, mereka ada gaji yang diterima, orang macam kami ini, makan pun perlu berjimat,” katanya.

Syima akui dirinya bukan seorang yang pandai berpura-pura demi mengambil hati pekerja senior. Kini, dia hanya mahu tumpukan perhatian pada tugasan diberikan berbanding politik pejabat.

“Saya memang bukan seorang yes man (pak turut). Betul, generasi kami jenis yang lompat-lompat kerja kerana cara itu lebih mudah untuk perkembangan karier.

“Jadi, peraturan lama ‘sembah ratu’, tidak lagi terpakai untuk generasi zaman ini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI