fbpx

Lima negara minat khidmat Misbun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISBUN (kiri) tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran daripada negara-negara yang menyatakan minat mereka mendapatkan khidmatnya.

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek ibarat ‘pisang goreng panas’ apabila khidmatnya terus diburu pasukan-pasukan berminat.

Menurut Misbun, sebaik beliau meninggalkan BAM penghujung bulan lalu, beberapa negara terus menghubunginya bagi mengemukakann tawaran, namun terpaksa menolak kerana mahu mengambil masa untuk bertenang.

Bagaimanapun, legenda badminton tanah air itu tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran yang dikemukakan kerana menganggap badminton sudah sebati dengan jiwanya selain mahu memanfaatkan kepakaran dimiliki.

Walaupun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung tawaran tersebut, difahamkan dua negara jiran, iaitu Thailand dan Singapura turut tersenarai sebagai antara pasukan yang sedia menyambar khidmat jurulatih berusia 63 tahun itu.

“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya masih ditagih oleh luar negara, mereka mahukan idealogi saya untuk membentuk pemain mereka, apa salahnya. Apa yang mereka mahukan adalah sentuhan penyudah dan bagaimana capai kemenangan.

“Saya belum buat keputusan muktamad kerana ia turut bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya kemukakan. Buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini hari ini.

Seandainya bersetuju untuk berkelana ke luar negara buat pertama kali dalam kariernya, Misbun berhasrat untuk membawa adiknya yang juga bekas beregu lelaki kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai penganalisa.

Pada masa sama, Misbun turut menjelaskan, faktor utama beliau enggan menerima semula tawaran dikemukakan BAM adalah beliau enggan mengganggu perancangan skuad remaja negara yang melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

“Saya buat keputusan untuk menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu ganggu persiapan skuad remaja ke kejohanan dunia, mungkin perancangan sudah diatur. Memang saya yang atur program sejak dari kejohanan dunia tahun lalu, namun kali ini sukar kerana sudah kesuntukan waktu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria masih relevan terus kekal mengemudi badan induk tersebut meskipun sudah menyuarakan hasrat meletak jawatan hujung minggu ini.

“Saya rasa sedih juga apabila Tan Sri Norza mengumumkan untuk meletak jawatan hujung tahun ini, tetapi untuk saya kenapa beliau nak berhenti? Jika tanya saya, beliau masih lagi relevan dan berwibawa sebagai presiden. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI