IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap berbangga dengan prestasi bintang remaja negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi biarpun gagal ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, kejayaan pelari pecut itu mengungguli pusingan awal dalam penampilan pertamanya di pentas berprestij dunia tersebut tetap membanggakan.
“Pencapaiannya sungguh membanggakan. Ini kali pertama dia menyertai kejohanan seperti ini,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Fit Malaysia peringkat negeri Perak di Ipoh hari ini.
Azeem, 19, yang berasal dari Teluk Intan, Perak mencatat masa terpantas 10.24 saat (s) pada saringan dua peringkat kelayakan 100 meter (m) di Stadium Olahraga Nasional semalam.
Bagaimanapun, ia masih jauh jika dibandingkan dengan catatan peribadi terbaiknya yang juga rekod 100m kebangsaan iaitu 10.09s dilakukan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia.
Hasrat Azeem untuk melangkah ke separuh akhir tidak menjadi kenyataan selepas menduduki tempat ketujuh dalam saringannya di pusingan pertama dengan catatan 10.26s awal pagi tadi.
Sementara itu, Adam menjelaskan, tiada insentif buat Azeem berikutan pencapaian atlet yang berpangkalan di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat berkenaan di Hungary.
“Sebenarnya Azeem memang berada di bawah perhatian KBS dengan menerima insentif tertentu untuk dia menjalani latihannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE