PETALING JAYA – Keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza bagi sambutan peringkat negeri adalah tindakan salah yang membawa kepada agenda perpecahan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebagai orang muda (Ketua Pemuda PN) sepatutnya membawa idea yang lebih baik dan bukan lebih teruk.
“Pilihan raya dah selesai, ini masa rakyat Malaysia bersatu hati, ahli politik jangan tak habis-habis bawa agenda perpecahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif.
Justeru, Muhammad Akmal berkata, tindakan tersebut tidak mencerminkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai 14 negeri.
“Negara kita, Malaysia ada 14 negeri, bukan empat negeri sahaja.
“Jika alasan kerajaan Selangor dulu boleh buat, takkan kami tak boleh buat? Jawapan saya, kalau ada orang buat benda tak betul, takkan kita nak ikut sekali?,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Katanya, logo Malaysia Madani bagi HKHM 2023 memiliki reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’. – KOSMO! ONLINE