PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di empat buah negeri, pagi ini.
Menurut laporan MetMalaysia di laman Facebook, cuaca buruk tersebut diramal berlarutan sehingga pukul 11 pagi.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh negeri Pulau Pinang serta Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah.
“Selain itu, cuaca buruk juga diramal di Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung, Perak.
“Di Johor, hujan lebat lebih tertumpu di Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat,” katanya dalam hantaran sama.
Tambah MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimiter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE