MADRID, Sepanyol – Harga makanan di Sepanyol naik sehingga 30.8 peratus Julai lalu berbanding bulan sama pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, demikian menurut akhbar El Mundo seperti laporan laman berita RT semalam.
Laporan memetik data terkini firma analisis Funcas itu melaporkan, kebanyakan harga barang di Sepanyol merekodkan peningkatan hargalebih dua kali ganda sepanjang tempoh tersebut.
Antara produk yang mencatatkan kenaikan harga paling tinggi dalam tempoh setahun ialah gula (44.2 peratus), kentang (38.8 peratus), beras (22 peratus), buah-buahan dalam tin (19.4 peratus) dan kek serta gula-gula(18.2 peratus).
Susu turut meningkat sebanyak 17.6 peratus diikuti daging babi (15.8 peratus), telur (12.8 peratus) dan buah-buahan segar (11.6 peratus) dalam tempoh sama, demikian menurut data tersebut.
Minyak zaitun pula melonjak 115 peratus dari tahun ke tahun sekali gus menandakan kenaikan harga tertinggi pernah berlaku.
Inflasi makanan Sepanyol didorong beberapa faktor seperti harga tenaga, bahan api dan baja yang melambung tinggi, manakala bekalan komoditi tertentu mengecil di pasaran global, kata Funcas.
Kemarau berpanjangan yang dialami Sepanyol sejak musim panas lalu turut menyumbang kepada kenaikan harga makanan. – AGENSI