SETIAP hari, nenek Jepun berusia 93 tahun, Hamako Mori akan melakukan senaman jari untuk memastikannya ‘lincah’.
Bukan untuk mengait atau menjahit, tetapi ia sebagai persiapan untuk bermain permainan video.
Pesara yang dikenali sebagai ‘nenek pemain permainan’ menghabiskan masa tiga jam atau lebih sehari untuk melawan raksasa dan melakukan misi di dunia maya menerusi permainan kegemarannya.
Tidak hanya itu, Hamako juga mempunyai saluran YouTube yang popular buat tatapan peminatnya.
“Saya bersemangat untuk bermain permainan video setiap hari. Ia menjadikan hidup saya lebih menyeronokkan.
“Bermain permainan video umpama berada dalam dunia sendiri.
“Setiap misi menentang musuh boleh membantu mengurangkan tekanan hidup,” katanya yang merupakan seorang balu.
Jika dilihat secara fizikal, Hamako mempunyai susuk tubuh yang masih sihat dan memiliki sifat lemah lembut.
Rambutnya pula diikat ke belakang serta mengenakan cermin mata besar.
Dia memulakan video yang disiarkan dalam YouTube dengan ‘konnichiwa’ (salam sejahtera) sambil tunduk sebagai tanda hormat.
Namun, sikap lembut Hamako hilang apabila dia bermain permainan video.
Dia berubah menjadi watak yang memegang pistol dalam Call of Duty atau permainan video bersenjatakan pedang dalam NieR: Automata.
Hamako yang tinggal di Chiba, tenggara Tokyo bersama keluarganya memegang Guinness World Records yang mengesahkannya sebagai YouTuber permainan video tertua dunia.
Menurut cucunya, Keisuke Nagao, 43, Hamako sentiasa bersemangat apabila bercerita tentang permainan video.
“Saya rasa dia berbeza sedikit. Orang tua biasa tidak begitu bersemangat tentang permainan video seperti dia.
“Namun nenek bukan baru dalam dunia permainan, dia telah main kira-kira 200 tajuk sejak menceburi hobi itu kira-kira empat dekad lalu,” ujarnya.
Ujarnya lagi, konsol pertamanya ialah Cassette Vision yang dibelinya pada tahun 1981 selepas tertarik dengan obsesi anak-anak muda ketika itu dengan permainan video tersebut.
“Saya mendapati terdapat perkara yang menarik wujud di dunia,” kata Hamako.
Dia telah memainkan kebanyakan permainan video popular dunia termasuk Super Mario Brothers, Dragon Quest, Final Fantasy dan Call of Duty.
Hamako turut mengakui bahawa kadang-kadang dia berjaga sehingga pukul 2 pagi kerana terlalu leka bermain permainan video.
Permainan kegemarannya termasuk siri aksi pengembaraan Grand Theft Auto dan permainan lakonan fantasi popular Elder Scrolls V: Skyrim.
“Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu dan ia merupakan satu motivasi dalam hidup.
“Saya biasanya bermain bersendirian di rumah, namun selepas melancarkan saluran YouTube pada 2014, ia menghubungkan saya dengan pemain lain di luar,” kongsinya.
Hamako menyiarkan video baharu yang dirakam oleh cucunya tiga atau empat kali sebulan.
Menariknya, ia telah menarik 300,000 ‘subscriber’ dan berjuta-juta tontonan.
Kandungannya memaparkan aksi permainan video Hamako, di samping menunjukkan kehidupan hariannya.
“Apa yang seronok tentang membuat kandungan YouTube bukan sahaja ditonton oleh ramai orang, tetapi saya bermain bersendirian.
“Antara kandungan lain yang ada adalah video menunjukkan dia meniup lilin pada kek untuk meraikan ulang tahun ke-90 bersama keluarganya.
“Satu lagi video menunjukkan Hamako membuka kotak konsol PlayStation yang serba baharu,” jelasnya.
Pada usia 90 tahun, Hamako masih cergas, tetapi dia berkata, beberapa permainan canggih memerlukan gerakan tangan tangkas yang sememangnya mencabar.
“Ia semakin sukar, namun saya sentiasa melatih jari dan tangan setiap hari supaya sentiasa bersedia untuk bermain.
“Saya tidak pernah ada niat untuk berhenti bermain hanya kerana ia sukar, malah meneruskannya lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa,” katanya.
Dia memaklumkan, menerusi latihan, dirinya dapat meningkatkan lagi kemahiran biarpun umurnya semakin lanjut.
Hamako turut menggalakkan orang tua lain untuk menyertai sukan atau mencari hobi lain yang boleh dilakukan secara konsisten, ia tidak semestinya permainan video.