LONDON – Dua bintang baharu Chelsea, Moises Caicedo dan Romeo Lavia berpeluang untuk melakukan debut bersama pasukan itu pada aksi menentang West Ham United, malam ini.
Selepas berjaya mengetepikan cabaran Liverpool dalam persaingan untuk mendapatkan kedua-dua pemain itu, pengurus The Blues, Mauricio Pochettino menegaskan Caicedo dan Lavia perlu membuktikan keadaan fizikal serta mental mereka berada pada tahap terbaik.
“Ia menjadi minggu yang cukup tertekan buat Moises dan Romeo. Adalah senang untuk mengatakan mereka akan terbabit dalam perlawanan, tetapi paling penting adalah mengelakkan sebarang risiko.
“Jika mereka berada dalam keadaan bersedia, sudah pasti mereka akan turut serta, namun jika tidak, mereka perlu menanti beberapa hari lagi,” katanya.
Chelsea melengkapkan perpindahan Caicedo dari Brighton dengan nilai £115 juta (RM681.9 juta) dan berbelanja £58 juta (RM343.9 juta) untuk mendapatkan Lavia dari Southampton.
Pochettino juga menghamburkan pujian kepada Lavia dan akui cukup mengenali pemain itu dan begitu sesuai dengan projek yang sedang dibina di Stamford Bridge.
“Kami begitu teruja untuk mendapatkan khidmatnya. Kelab ini sudah bekerja keras dan saya mahu ucapkan tahniah kepada pemilik, pengarah sukan dan setiap orang yang terlibat kerana sudah melakukan tugas dengan hebat,” jelasnya. – AGENSI