LUMUT – Jabatan Perikanan menahan sebuah bot pukat tunda tempatan selepas didapati menangkap ikan di zon larangan berhampiran Kepulauan Sembilan, dekat sini tengah hari semalam.
Bahkan, bot tersebut turut didapati melakukan enam kesalahan lain ketika ditahan oleh kapal peronda jabatan itu pada kedudukan 2.4 batu nautika dari Pulau Buluh, Kepulauan Sembilan, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Pangkalan Unit Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS), Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kampung Acheh, Mohd. Sharifuddin Abdul Manan, berkata hasil pemeriksaan mendapati bot itu telah melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Selain menangkap ikan menggunakan peralatan pukat tunda kurang dari lapan batu nautika dari pantai seperti syarat lesen, didapati juga menggaji lima warga Myanmar berusia antara 40 hingga 60 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Ketika diperiksa, terdapat hasil tangkapan ikan pelbagai jenis anggaran berat 200 kilogram dengan nilai lebih kurang RM6,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kesalahan lain dilakukan termasuk saiz mata pukat di bahagian keroncong kurang dari 38 milimeter dan menggunakan alat radio komunikasi tanpa kebenaran bertulis dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Jelasnya, bot itu juga tidak mengaktifkan alat pengesan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) manakala kod zon rumah kemudi tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
Beliau memaklumkan, kesemua peralatan bernilai kira-kira RM500,000 telah disita dan dibawa ke Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) Kg. Acheh, untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE