fbpx

Risiko tinggi potong kaki jika status pesakit diabetes lelaki duda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Golongan duda yang menghidal diabetes berisiko bercerai kemungkinan disebabkan perubahan dalam tabiat makanan mereka. - Foto PA

STOCKHOLM, Sweden – Lelaki yang bercerai dan menghidap diabetes tergolong dalam risiko paling tinggi untuk sebahagian atau kedua-dua kaki mereka dipotong disebabkan komplikasi penyakit tersebut, demikian menurut satu kajian di Sweden seperti laporan akhbar The Guardian kelmarin.

Menurut kajian diketuai oleh Dr. Stefan Jansson dari Universiti Orebro, pesakit diabetes yang bercerai adalah 67 peratus lebih cenderung menjalani pemoto­ngan anggota bawah badan se­perti kaki berbanding pesakit diabetes yang masih berkahwin.

Kebarangkalian duda me­nga­lami nasib tersebut 57 peratus lebih tinggi berbanding janda.

Keputusan itu adalah hasil penyelidikan yang dijalankan dalam kalangan 66,569 penghidap diabetes di Sweden dan akan dibentangkan pada persidangan pakar-pakar tentang pe­nyakit diabetes, Oktober depan.

Keperluan untuk memotong kaki dan jari kaki adalah kesan sampingan diabetes yang serius. Ia merupakan fenomena biasa serta berisiko berlaku dalam kalangan penghidap diabetes jenis 1 dan 2.

Di England pula, purata 184 pesakit diabetes menjalani amputasi pada setiap minggu. Prosedur itu dilakukan bagi mengelak jangkitan daripada merebak dan membunuh pesakit.

Bilangan penghidap diabetes di Britain baru-baru ini pula mencapai rekod tertinggi iaitu kira-kira 5.1 juta orang.

Pasukan penyelidik dari Sweden itu menyatakan bahawa mereka tidak pasti mengapa perceraian melibatkan kedua-dua jantina mengundang risiko amputasi lebih besar berban­ding pesakit diabetes yang kekal berkahwin.

Bagaimanapun, mereka membuat spekulasi bahawa keadaan itu mungkin disebabkan oleh perubahan dalam penjagaan diri dan tabiat makan selepas pesa­kit diabetes bercerai di samping risiko kerana hidup bersendirian.

“Khususnya pada kaum lelaki, risiko amputasi sering dikaitkan dengan pengasingan sosial yang lebih serius dengan kesan sekunder aktiviti fizikal yang rendah,” tambah kajian tersebut.

Golongan tua juga lebih be­risiko untuk mengalami amputasi walaupun mereka baru didiagnosis menghidap diabetes, kata kajian sama.

Pertambahan umur penghidap diabetes pada setiap tahun bermakna risiko kaki mereka dipotong meningkat sebanyak 8 peratus.

Pesakit diabetes yang menjalani rawatan insulin dan mempunyai masalah kesihatan lain seperti hipertensi dan kolestrol tinggi di samping perokok juga lebih berisiko mengalami amputasi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI