HOUSTON, TEXAS – Seorang penumpang yang menaiki penerbangan Southwest Airlines merakam kejadian enjin pesawat yang dinaikinya terbakar di ruang udara, lapor laman berita Wion News semalam.
Video dirakam ketika pesawat tersebut dalam perjalanan dari Texas menuju Mexico. Api kelihatan keluar dari enjin pesawat ketika ia terbang di langit dekat Houston.
Saluran televisyen KHOU melaporkan, pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang William P. Hobby di Houston dalam perjalanan ke bandar Cancun petang Selasa lalu apabila enjin kanannya terbakar.
Pesawat kami mengalami masalah mekanikal sejurus selepas ia berlepas, kata syarikat penerbangan berpangkalan di Dallas itu dalam satu kenyataan rasmi.
“Pesawat itu mendarat dengan selamat dan dialih keluar dari perkhidmatan untuk pemeriksaan, ” jelas Southwest Airlines.
Video itu dirakam oleh seorang penumpang bernama Ricardo Garcia. Seorang jurutera mekanikal bernama Andrew Sandino, 38, turut menyaksikan kebakaran itu dari bawah.
“Saya melihat kepulan asap hitam keluar dari enjin kanan, ia kemudian mengeluarkan bola api besar,” katanya kepada portal NBC News.
Pesawat itu hanya berada di udara selama 16 minit sebelum ia membuat pendaratan cemas dengan selamat. Semua penumpang kemudian dipindahkan ke pesawat lain. – Agensi