PETALING JAYA – Kemaraan Selangor ke suku akhir Piala Malaysia dipalit dengan cerita kecewa apabila tewas 2-1 kepada PDRM FC pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Red Giants mara ke kelompok lapan pasukan terbaik hasil kejayaan 5-3 secara agregat dan dijadualkan menentang jaguh Pantai Timur, Terengganu.
Kesilapan pertahanan Red Giants, Yazan Al-Arab pada masa kecederaan babak kedua memberikan implikasi besar kepada pasukan hingga menyaksikan rakan sepasukannya, Harith Haiqal Adam Afkar tertampan bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol kemenangan PDRM FC.
Terdahulu, The Cops yang memerlukan empat gol untuk mara makin tertekan apabila minit ke-25 Yohandry Orozco bijak melepasi perangkap offside sebelum mengatasi penjaga gol lawan, Ramadhan Ab Hamid.
Bagaimanapun, selang tujuh minit selepas itu perjuangan The Cops kembali hidup apabila memperoleh jaringan penyamaan menerusi Nabil Ahmad Latpi.
Minit ke-69, Rickmond Boakye Yiadom sepatutnya mampu menamatkan sisa perjuangan PDRM FC namun lencongan dilakukannya serong ke sebelah kiri.
Keputusan pengendali PDRM FC, Datuk Yunus Alif memasukkan dua penyerang, Bruno Suzuki dan Hadi Fayyadh Abdul Razak seakan tidak beri impak besar ketika Selangor dilihat lebih selesa mengatur gerakan.
Bagaimanapun, sebaik aksi memasuki masa kecederaan, Suzuki bijak merampas bola di kaki Al-Arab dan lorongannya ke dalam kotak penalti terkena kaki Harith Haiqal untuk menghadiahkan gol kedua PDRM FC. KOSMO! ONLINE