fbpx

Nahas Elmina: Sharipuddin pernah berbakti sebagai anggota APM ketika Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar Allahyarham Sharipuddin sedang bertugas sebagai anggota sukarelawan APM ketika pandemik Covid-19 lalu.

PETALING JAYA – Allahyarham Sharipuddin Shaari jarang-jarang pulang ke rumah dan sanggup berkorban menginap di asrama pejabat ketika menjadi sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada pandemik Covid-19 lalu.

Menurut seorang pegawai APM Kota Setar, Kedah, dikenali sebagai Muhammad Hilmi Yaakob, beliau terkejut apabila mengetahui Allahyarham adalah salah seorang mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Ujarnya, Allahyarham yang berusia 53, sebelum ini merupakan bekas anggota tentera sebelum berkhidmat sebagai anggota sukarelawan APM.

“Allahuakbar, baru perasan mangsa nahas pesawat yang bawa e-hailing tu. Arwah merupakan bekas anggota tentera. Seterusnya berkhidmat sebagai anggota sukarelawan APM Daerah Kota Setar.

“Beliau berkhidmat bersama-sama saya bagi pengurusan jenazah Covid-19 APM Daerah Kota Setar dan juga Pengurusan Stesen Kuarantin Covid-19 Hotel Seri Malaysia Alor Setar.

“Sangat-sangat baik dan penuh etika kerja sebagai anggota beruniform. Selepas tamat tugasan-tugasan melibatkan pengurusan Covid-19, arwah tidak lagi aktif dan mencari sumber pendapatan menerusi e-hailing,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya lagi, Allahyarham jarang-jarang pulang ke rumah kerana ketika itu terlalu banyak jenazah yang perlu diuruskan sampai ke tengah malam.

“Terima kasih kandaku di atas bakti yang diberikan sepanjang berkhidmat di bawah seliaan saya. Semoga ia menjadi salah satu bekalan buatmu di sana,” luahnya.

Sementara itu, menurut sumber, difahamkan APM akan mengiringi jenazah Allahyarham dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang ke Tanah Perkuburan Masjid Hishamduddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Isnin ini bagi memberikan penghormatan terakhir.

“Anggota dan pegawai APM akan membantu membawa atau menguruskan pergerakan jenazah ke tanah perkuburan,” ujarnya.

Kelmarin, pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.48 petang bagaimanapun dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.

Sehingga kini, hanya jenazah penunggang p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, sudah dituntut keluarganya pada pukul 9.30 pagi tadi.

Bagi jenazah yang lain, proses pengurusan mayat mangsa dijangka selesai seawal Isnin ini ekoran proses pengecaman ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada cebisan mayat (human remains) memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI