PETALING JAYA – Jenazah mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, dekat sini boleh ditayamumkan sekiranya proses memandikan boleh memudaratkan lagi jenazah.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, apa yang penting ialah jenazah perlu dibersihkan untuk disolatkan.
“Mayat yang tidak sempurna ini yang pentingnya setiap jenazah hendaklah dibersihkan dengan air suci. Segala kekotoran perlu dihilangkan kerana jenazah akan disolatkan.
“Solat dalam keadaan yang bersih, kecuali jika tidak boleh menggunakan air di mana boleh memudaratkan lagi jenazah, tayamum boleh dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai keadaan jenazah yang mungkin tinggal cebisan, Abdul Rahman berkata, bahagian jenazah yang tinggal boleh disekalikan dan dikafankan seperti biasa sebelum pengebumian.
“Bergantung pada keadaan jenazah, pihak yang biasa menguruskan jenazah mereka tahu cara-caranya. Bahagian jenazah perlu dicantumkan semua yang ada kemudian dibersihkan seterusnya dikafankan seperti biasa,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, ada mayat mangsa nahas pesawat itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan berkecai.
Dalam insiden pukul 2.50 petang kelmarin itu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Guthrie.