KLANG – Penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dilihat kurang ceria dan banyak menyendiri sebelum maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam kelmarin.
Rakan mangsa, Mohd. Rosmaini Sahlan, 42, berkata, kali terakhir bertemu dengan arwah adalah di sebuah kedai di Subang Bestari beberapa hari sebelum kejadian itu.
Menurutnya, dia bersama beberapa rakan penghantar makanan lain sedang menunggu tempahan pelanggan di lokasi tersebut.
“Namun, saya agak pelik kerana melihat arwah agak kurang bercakap dan tidak ceria sedangkan dia amat peramah sebelum ini.
“Selain itu, dia agak menyendiri dan tidak sangka ia petanda awal pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di masjid itu selepas dituntut keluarga di Jabatan Forensik HTAR.
Menurut Mohd. Rosmaini, arwah turut sempat meluahkan hasrat mahu mencari wang membantu kos perbelanjaan perkahwinan adik perempuannya.
“Dia pernah memberitahu ingin mengumpul wang untuk majlis perkahwinan itu dan sanggup bekerja siang dan malam.
“Selain itu, dia juga menjemput rakan-rakan ‘rider’ untuk menghadiri kenduri itu di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani pada 26 Ogos depan,” ujarnya.-KOSMO!ONLINE