fbpx

‘Ini nahas udara ketiga Khairil Azwan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WALAUPUN sudah menamatkan khidmat dengan JBPM, Allahyarharm Khairil Azwan (berdiri, lima dari kiri) sering membantu SAR yang dikendalikan jabatan itu.

PUTRAJAYA – Salah seorang penumpang pesawat ringan yang terhempas di Elmina Central Park kelmarin iaitu Khairil Azwan Jamaluddin dilaporkan pernah terlibat dengan dua nahas udara sebelum ini terma­suk ketika berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 2010.

Menurut rakan baik Allahyarham yang juga Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara, Bahagian Udara Ibu Pejabat Bomba Putrajaya, Penguasa Kanan Bomba 1 Roslan Aziz, nahas udara pertama melibatkan Allahyarham ialah pada 16 September 2010 ketika bersama-sama me­lakukan tinjauan di Pahang.

Ujarnya, ketika kejadian, mereka ditugaskan untuk membuat tinjauan udara dari Bentong, Pahang hingga ke Pantai Timur sempena sambutan Aidilfitri

“Ketika kejadian 13 tahun lalu, saya merupakan juruterbang helikopter, manakala Khairil Azwan ialah pembantu penerbangan. Semasa kemalangan itu, kami sedang dalam tugasan Ops Raya.

“Bagaimanapun, selepas 15 minit penerbangan iaitu ketika berada di ruang udara Lanchang, Pahang, kami berdua berdepan cuaca buruk dan perlu berpatah balik kerana jarak penglihatan tidak mengizinkan.

“Jadi, kami perlu terbang rendah untuk berpatah balik kerana jarak penglihatan yang teruk sebelum terlanggar kawasan bukit hingga menyebabkan pesawat terhempas serta terputus dua,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujarnya, sejurus nahas itu, dia mengalami cedera parah akibat tertusuk ranting kayu, manakala Khairil Azwan pengsan selepas helikopter dinaiki terhempas di kawasan bukit.

“Sebenarnya, saya memang terhutang nyawa dengan Khairil Azwan kerana Allahyarham yang mengheret saya keluar dari pesawat kerana enjin masih berfungsi selain ada risiko meletup.

“Dia riba saya, beri rawatan awal termasuk mengajar mengucap kerana begitu banyak pendarahan berlaku selepas leher tertusuk kayu.

“Saya juga tidak akan lupakan jasa arwah yang menghubungi isteri saya untuk memboleh­kan kami berdua bercakap memandangkan ada pelbagai kemungkinan mungkin berlaku selepas terlalu banyak pendarahan,” jelasnya.

Tambah Roslan, kedua-dua mereka telah dikejarkan ke Hospital Temerloh selepas kejadian di mana dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala Allahyarham hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Selepas enam tahun berkhidmat dengan JBPM, Allahyarham mengambil keputusan untuk berhenti dan dia pernah memberitahu kerana mengalami fobia untuk terbang.

“Selepas berehat seketika, Allahyarham membuat keputusan untuk terbang semula dan menyertai syarikat penerbangan swasta sehingga sekarang,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Khairil Azwan juga pernah berdepan nahas udara kedua ketika berkhidmat dengan syarikat swasta, namun tiada maklumat terperinci mengenainya berikutan tidak melibatkan kerosakkan serius pesawat.

“Tetapi, nasib mungkin tidak menyebelahi arwah untuk kali ketiga apabila dia antara yang dilaporkan terkorban. Sebagai sahabat, pemergiannya merupakan satu kehilangan besar.

“Meskipun Allahyarham sudah tidak berkhidmat dengan JBPM, tetapi semangat untuk membantu masih membara. Arwah sebenarnya sering hubungi saya untuk membantu jika ada sebarang operasi dan menyelamat (SAR).

“Dia pernah membantu secara sukarela operasi SAR menggunakan helikopter syarikatnya seperti operasi menghantar makanan di Jerantut, Pahang selain mencari orang hilang di Ampang pada tahun lalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI