JELI – Hospital Bachok yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu dijangka beroperasi selewat-lewatnya Januari tahun depan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, setakat ini, pembinaan projek hospital tersebut sudah mencapai 97 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 27 Oktober ini.
“Kita akan menempatkan seramai 500 kakitangan bagi pengambilan pertama selepas ia beroperasi nanti.
“Hospital Bachok akan mengurangkan kesesakan terutamanya di hospital-hospital di kawasan bandar. JKNK akan menggunakan khidmat pakar dan kakitangan perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bertugas di Bachok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Jeli di Padang Awam Blok Kolam, Ayer Lanas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, peruntukan sebanyak RM15.3 juta telah disalurkan oleh kerajaan untuk segala keperluan aset di hospital terbabit.
Pembinaan Hospital Bachok merangkumi wad 76 katil, pejabat pentadbiran, kafeteria, perkhidmatan pesakit luar termasuk kemudahan lain seperti kuarters kakitangan, kawasan letak kereta, surau, bangunan sokongan seperti rumah sampah dan loji rawatan air.
Projek tersebut sepatutnya siap pada Disember 2020 lalu, namun ia mengalami kelewatan ekoran masalah syarikat pemaju terdahulu yang mengalami isu kewangan selain tidak cukup pekerja akibat pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE