TOKYO, Jepun – Penganjur sebuah acara muzik di Jepun akan memfailkan aduan ke atas penonton yang meraba deejay terkenal dari Korea Selatan, DJ Soda ketika persembahannya baru-baru ini, lapor agensi berita Kyodo News.
TryHard Japan yang menganjurkan festival muzik selama tiga hari sehingga Ahad lalu di Sennan, wilayah Osaka akan membuat aduan polis termasuk perbuatan tidak senonoh itu walaupun suspek belum dikenal pasti.
Pada Isnin lalu, DJ Soda menyelar tindakan beberapa penonton di laman Instagram termasuk seorang wanita yang didakwa menyentuh payudaranya ketika dia turun dari pentas untuk beraksi di hadapan peminat.
Dia turut menyertakan gambar beberapa peminat menghulurkan tangan melepasi pagar keselamatan untuk menyentuh lengan dan dadanya.
Dalam kekecohan itu, dia mendakwa seorang wanita memegang payudaranya dengan lebih kuat berbanding pengunjung lain.
TryHard Japan mengeluarkan kenyataan pada Selasa lalu menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit. – Agensi