MUNICH – Bayern Munich menamatkan spekulasi mengaitkan mereka dengan kehadiran bekas penjaga gol Manchester United, David De Gea yang masih belum memiliki sebarang kelab ketika ini.
Biarpun berjaya meraih anugerah penjaga gol terbaik di England musim lalu, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan menyebabkan United membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya menyebabkan dia ketika ini sekadar menjadi ejen bebas.
Situasi berkenaan menyebabkan pemain berusia 32 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Allianz Arena ketika penjaga gol utama The Bavarians, Manuel Neuer mengalami kecederaan.
“FC Bayern tidak akan menandatangani David De Gea. Ia telah diputuskan. Jurulatih Bayern, Thomas Tuchel telah menggunakan kuasanya untuk menafikan perpindahan tersebut terutama ketika Neuer sudah kembali menjalani latihan.
“Seperti dilaporkan sebelum ini, Tuchel lebih berminat untuk mendapatkan penjaga gol Manchester City, Stefen Ortega, tetapi tidak berjaya. Itulah menyebabkan De Gea dikaitkan menyertai Bayern, namun semua sudah berakhir,” menurut laporan Sky Sport Jerman.
Neuer, 37, kembali menjalani latihan dan dijangka menyertai skuad utama dalam tempo beberapa minggu lagi selepas berdepan kecederaan patah kaki ketika bermain ski sebelum ini.
Dilaporkan, rundingan bersama De Gea gagal apabila pemain itu meminta jumlah gaji yang terlalu tinggi menyebabkan Bayern tidak bersedia untuk melunaskannya. – AGENSI