fbpx

Abang disyaki mental tikam adik 9 tahun sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

RANAU – Seorang lelaki menikam adiknya yang berusia sembilan tahun sehingga maut dalam kejadian di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Kinapulidan di sini pada Khamis lalu.

Kejadian pada pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika suspek berusia 19 tahun yang disyaki mengalami masalah mental menikam adiknya dengan menggunakan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berdarah itu pada pukul 11.27 pagi hari sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan kanak-kanak lelaki ditikam abangnya sendiri di bahagian perut semasa berada di ruang tamu rumah mereka.

“Suspek menikam dengan menggunakan sebilah pisau dan mangsa dihantar ke hospital oleh jirannya bagi mendapatkan rawatan.

“Walau bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Ranau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Simiun berkata, suspek berjaya ditangkap pada hari sama di sekitar lokasi kejadian.

“Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental,” katanya.

Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI