fbpx

Zulaikha tangguh belajar demi majukan bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULAIKHA sanggup menangguhkan pengajian selama tiga tahun untuk memberi tumpuan pada perniagaan yang diusahakannya.

SETIAP orang tidak sama dan berbeza perjalanannya.

Cukuplah dengan usaha, kesungguhan dan minat tidak berbelah bahagi, pasti segala impian serta cita-cita yang diidamkan akan tercapai.

Bagi Siti Nur Zulaikha Mohd. Rosli, dia memulakan langkah pertamanya menceburi bidang perniagaan ketika sedang menuntut di institusi pengajian tinggi dalam bidang Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang rasa bimbang kepada kedua-dua ibu bapanya.

Ini kerana, mereka tidak mahu perniagaan yang dijalankan gagal dan pelajaran pula tidak dapat dihabiskan.

Bak kata pepatah, mereka tidak mahu ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Meskipun kebimbangan yang dizahirkan keluarganya ada asasnya, namun wanita yang mesra disapa Zulaikha itu bertekad cuba menyakinkan ibu bapanya.

“Masa awal-awal dulu, mereka tidak kisah apabila saya menyatakan hasrat memulakan perniagaan sambil belajar.

“Mereka kerap kali menasihati saya supaya fokus kepada pelajaran terlebih dahulu dan bukannya berniaga.

“Mereka bimbang sekiranya perniagaan yang saya jalankan tidak menjadi dan pelajaran pula terkandas di tengah jalan,” katanya.

Disebabkan itu, Zulaikha berusaha meyakinkan ibu bapanya bahawa dia mampu menyeimbangkan kedua-duanya.

“Kebetulan ketika itu, pam air di rumah kami rosak. Tanpa berfikir panjang, saya terus tukar mesin yang berharga RM1,000 dengan wang hasil saya menjalankan perniagaan.

“Mereka terkejut dan terharu kerana tidak menyangka saya berupaya membantu mereka, walaupun ketika itu saya masih belum tamat pengajian,” katanya.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, selepas peristiwa tersebut, ibu bapanya mula percaya dengan kemampuan anak perempuan mereka.

“Ibu bapa saya langsung tidak bertanya apa-apa selepas itu.

“Mereka yakin selepas melihat perniagaan yang saya usahakan mampu membantu menampung keperluan keluarga,” katanya.

ZULAIKHA bersama suami dan cahaya matanya.

Menyorot kembali detik awal berniaga dan bergelar usahawan, Zulaikha memberitahu, dia memulakan perniagaannya ketika berada di semester kedua.

Maklumnya, niat asal adalah untuk mencari pendapatan tambahan bersama-sama teman yang kini sudah bergelar suaminya.

“Saya perlu mencari pendapatan tambahan.

“Walaupun saya menerima biasiswa untuk menyara hidup, tetapi ia tidak mencukupi lebih-lebih lagi tinggal di Shah Alam.

“Selain menambah pendapatan, saya juga mahu membantu pelajar dan graduan lain mencari duit poket sendiri dengan menjadi dropshipper,” ujarnya.

Dengan berbekalkan tawakal dan doa, Zulaikha terus membuat pendaftaran syarikat miliknya, Zarzou Holdings (M) Sdn. Bhd., yang kini masih teguh berdiri dan berkembang sehingga berjaya mencatatkan nilai jualan tersendiri.

Zulaikha memaklumkan, biarpun dia sudah meyakinkan ibu bapanya akan menyeimbangkan pelajaran dan perniagaan, namun jauh di sudut hati, dia rungsing jika tidak dapat melakukannya.

“Saya sendiri sebenarnya takut, jika tidak dapat fokus kepada kedua-duanya.

“Saya ini datang daripada keluarga susah dan anak sulung pula, kalau saya gagal kedua-duanya, macam mana saya hendak bantu keluarga.

“Namun, saya berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT agar membantu saya mencapai kejayaan.

“Saya juga berusaha membahagi masa sebaiknya,” jelasnya.

Malangnya, dia terpaksa menangguhkan pengajian selama tiga tahun bagi memberi tumpuan penuh pada bisnes diusahakan.

Katanya, dia tangguh belajar kerana bimbang jika perniagaannya gagal kerana tidak memiliki ilmu perniagaan yang cukup.

Sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya, Zulaikha kemudiannya mendaftar diri menyertai beberapa seminar dan kursus bimbingan perniagaan bagi menambahkan ilmu.

Katanya, selepas menyertai seminar selama hampir setahun, dia sedar bahawa terdapat perubahan yang dialaminya termasuk dari segi sikap, percakapan dan cara berfikir.

Katanya, seseorang individu itu tidak harus bersikap sombong terutama dalam mencari ilmu, sebaliknya perlu berfikiran terbuka dan bersedia menerima apa jua ilmu.

“Apa yang dipelajari dalam kelas mungkin sedikit sebanyak membantu kita dalam urusan perniagaan seharian.

“Tetapi ingat, pengalaman dan nasihat daripada orang lain adalah sangat penting. Ini kerana, pengalaman dan nasihat boleh membimbing kita untuk lebih berjaya pada masa depan,” ujar Zulaikha yang akhirnya berjaya mendapat sijil ACCA pada tahun 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI