BEIJING – Kadar pengangguran semakin meningkat di China, namun beberapa pekerjaan berkaitan pelancongan mula mendapat perhatian di negara itu.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, dua pekerjaan baharu paling popular di tanah besar China ialah teman merangkap jurugambar peribadi dan teman yang juga penyunting kualiti fotografi.
Iklan dua pekerjaan itu kerap dilihat di mana-mana platform media sosial seperti Douyin dan Xiaohongshu. Kadar bayaran dan perkhidmatan pula berbeza-beza.
Satu iklan memerlukan jurugambar peribadi menawarkan bayaran 25 yuan (RM15) sejam. Calon yang berjaya perlu mengajar cara bergambar dan menyunting gambar klien.
Dalam satu lagi iklan yang dikongsi seorang pelajar berusia 20 tahun, dia menawarkan khidmat menemani orang yang ingin bersiar-siar di bandar, berkongsi makan, merakam gambar dan pergi membeli-belah.
Iklan serupa kebanyakannya disediakan oleh pelajar universiti dan sekolah menengah.
Bayaran setiap jam adalah serendah 1 yuan (RM0.60) manakala perkhidmatan seperti menyolek dan menyunting video berharga antara 10 yuan (RM6) hingga 50 yuan (RM31). – Agensi