PETALING JAYA – “Kepada kawan-kawan, jangan gadai maruah dan kerjaya seni kita. Wang akan datang kemudian seiring dengan kerja keras dan bakat.”
Demikian pesanan pelakon popular Siti Khadijah terpanggil mengajak rakan-rakan selebriti agar menjauhi tawaran pekerjaan tidak bermoral yang selalunya datang kepada golongan artis .
Akui pelakon Sekali Lagi Cinta Kembali Itu, dia pernah ditawarkan pekerjaan ‘underground’ dengan bayaran luamayan sehingga RM175,000 namun tidak dilayan demi mempertahankan maruah diri.
Katanya, bukan sekali bahkan tawaran pekerjaan serupa yang dianggap menyalahi semua aspek sudah beberapa kali ditolak.
“Secara total perkara ini membabitkan sesuatu yang tak kena dan salah tetapi saya akui benda sama kerap terjadi kerana telah menolaknya sebelum ini” luahnya menerusi Insta Story.
Aktres berusia 26 tahun itu berharap pendedahan tersebut dapat memberi peringatan kepada rakan seperjuangan lain supaya berhati-hati dengan perkara seumpama itu.
“Saya terpanggil menangkap isu ini agar dapat bagi contoh kepada teman artis lain untuk tidak terjebak dengan ‘pekerjaan’ yang ditawarkan.
“Mari kita sama-sama elakkan. Anda boleh mengelaknya,” kata pelakon berusia 26 itu.
Dalam pendedahan juara pencarian Gadis Panca NR itu, individu terbabit mendakwa ramai selebriti telah bersetuju melakukan pekerjaan ‘underground’ yang ditawarkan.
Malah mesej berkenaan menyatakan peluang keemasan itu hanya dibuka kepada kelompok artis.
Bukan sekadar mendedahkan ramai yang telah menyahut pelawaan diberikan, tugas yang perlu dilunaskan pula hanya sekitar empat hingga lima jam.
Sepanjang lima tahun dalam industri hiburan, sememangnya pemilik nama lengkap Siti Khadijah Halim itu bersih daripada sebarang kontroversi. – KOSMO! ONLINE