KULIM – Sepasang suami isteri terpaksa menangguh pembedahan anak perempuan mereka, Nur Raniatul Aleesya, 6, yang menghidap penyakit jantung kronik kerana gagal mendapatkan wang RM100,000 bagi tujuan itu.
Rosnita Abdul Ghani, 36, berkata, mereka tidak mampu menanggung kos pembedahan itu memandangkan suaminya, Syarin Ramli, 38, bekerja kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang dan dia pula menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.
Katanya, anaknya itu menghidap penyakit jantung kronik iaitu masalah saluran injap bocor sepatutnya menjalani pembedahan Julai lalu.
Katanya, anaknya pernah menjalani pembedahan pada usia dua tahun bagi masalah jantung berlubang dengan kos RM80,000 dan ditanggung sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Walaupun anak saya nampak normal, dia tidak boleh terlalu aktif kerana keadaan mukanya seperti bibir akan menjadi biru,” katanya di Taman Sejahtera Jaya, Lunas di sini baru-baru ini.
Ujarnya, dia dan suami perlu menunggu tarikh pembedahan baharu kerana masih mengumpul wang sedikit demi sedikit.
“Kami pernah memohon kepada sebuah NGO yang pernah memberi sumbangan sebelum ini, namun permohonan kami gagal dan perlu mencari dana lain.
Kata Rosnita, sejak lahir, Nur Raniatul Aleesya kerap berulang-alik ke Hospital Kulim, Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Swasta Gleaneagles Pulau Pinang bagi mendapat rawatan.
Ujarnya, setiap enam bulan mereka akan ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut, manakala di hospital swasta dikenakan kos sekitar RM200 setiap kali menerima rawatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 1521 16508098 atas nama Rosnita Abdul Ghani atau menghubungi talian 014-918 3601 dan 013-573 9671.