fbpx

Piala Malaysia: KL City nekad ubah nasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KL CITY sedia menjadikan aksi menentang Penang sebagai platform untuk mengembalikan rentak kemenangan selepas dua kekalahan dialami.

PASUKAN Kuala Lumpur City (KL City) berharap dapat kembali berada di landasan kemenangan menjelang aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Penang FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Sebagai rekod, skuad Warga Kota meraih bekalan selesa apabila meletakkan ‘sebelah kaki’ ke pentas suku akhir dengan menewaskan Penang FC 4-0 pada aksi pertama di tempat lawan awal bulan ini.

Namun, prestasi juara Piala Malaysia edisi 2021 sedikit merudum selepas tewas pada dua aksi Liga Super berturut-turut apabila kalah kepada Selangor FC dan Sabah FC baru-baru ini.

Pengendali baharu KL City, Nenad Bacina mengakui jadual padat selain kehilangan tonggak utama, Paulo Josue sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan ketika ini.

“Kita mengharungi banyak perlawanan dalam masa yang singkat dan baru pulang daripada Sabah. Masa agak suntuk untuk membuat persiapan, tetapi saya percaya barisan pemain sudah bersedia untuk berikan yang terbaik.

“Perlawanan menentang Penang FC bukanlah aksi yang mudah, namun saya percaya dengan kualiti yang ada pada pasukan untuk perbaiki kesilapan yang dilakukan ketika bertemu Sabah minggu lalu,” katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan Josue, jurulatih import dari Croatia itu mengesahkan tonggak naturalisasi Harimau Malaya itu masih menjalani pemulihan daripada kecederaan yang dialami.

“Josue tidak selesa sepanjang musim ini kerana dihimpit kecederaan dan disebabkan itu dia sentiasa diketepikan. Dia adalah tonggak utama dan bukan mudah untuk pasukan beraksi tanpanya di atas padang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI