KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) menepati ramalan apabila menjadi kelab pertama mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Penang FC 1-0 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik sebentar tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan The City Boys kendalian Nenad Bacina melakar kemenangan agregat 5-0 apabila meraih bekalan selepas pada aksi pertama yang direkodkan di Pulau Pinang awal bulan ini.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi, Bacina membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Patrick Reichelt, Tchetche Kipre dan Romel Morales mengetuai jentera serangan.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan pada babak pertama tetapi setiap percubaan yang dilakukan berjaya dihalang oleh kubu pertahanan masing-masing.
Namun, skuad Harimau Kumbang akhirnya dibolosi apabila Kipre bijak merembat masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-70 untuk menghadiahkan kemenangan bergaya buat pasukan tuan rumah.
KL City boleh dianggap sebagai salah satu kelab pilihan untuk melangkah jauh pada kempen kali ini berdasarkan status mereka selaku juara Piala Malaysia edisi 2021 dan kejayaan mara ke final Piala FA musim ini. – KOSMO! ONLINE