JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah dibeli, setakat hari ini.
Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon berkata, dua daripada borang itu melibatkan PRK Parlimen Pulai, manakala enam lagi melibatkan DUN Simpang Jeram, Muar.
Menurut beliau, seorang calon bagi PRK DUN Simpang Jeram juga telah membuat pembayaran deposit.
“Berdasarkan semakan dibuat pada 23 Julai lalu, Parlimen Pulai akan menyaksikan seramai 166,653 individu layak mengundi, manakala di DUN Simpang Jeram pula melibatkan seramai 40,379 pengundi.
“Bagi Parlimen Pulai, terdapat 49 pusat mengundi dengan dua daripadanya melibatkan pengundi awal, manakala di DUN Simpang Jeram pula terdapat sebanyak 14 pusat mengundi dan tiada pengundi awal.
“Persiapan SPR bagi kedua-dua PRK itu pada tahap 80 peratus dan akan bersedia sepenuhnya dalam beberapa hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat SPR Bersama Petugas Media di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic), di sini hari ini.
Tambah Nor Nekman, pelaksanaan PRK Parlimen Pulai akan melibatkan seramai 2,674 petugas, manakala PRK DUN Simpang Jeram pula melibatkan seramai 674 petugas.
Sebelum ini, SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – KOSMO! ONLINE