KLANG – Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin, 43, sempat menghubungi isterinya termasuk menanyakan kertas peperiksaan anaknya sebelum terkorban dalam nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1).
Menurut Nizatul Akmar Mohd. Nasir, 43, Allahyarham suaminya begitu teruja apabila kali pertama menjadi penumpang pesawat persendirian.
Katanya, ini memandangkan Khairil Azwan sebelum ini hanya bertindak sebagai juruterbang helikopter bagi membawa Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
“Dia ada menelefon saya pukul 1.40 tengah hari tadi memaklumkan akan terbang balik dari Langkawi ke Subang.
“Allahyarham memaklumkan sangat teruja jadi penumpang dan sempat menanyakan mengenai kertas peperiksaan salah seorang anak kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar unit forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam tadi.
Kata kakitangan sebuah syarikat insurans tersebut, hasil perkahwinan mereka dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Khairul Ikwan berusia 10 tahun, Adam Hariz, 12 dan Khairul Harisin,14.
Jelas Nizatul Akmar, dia hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa suaminya itu menerusi media sosial sebelum menghubungi salah seorang pegawai polis di lokasi kejadian bagi tujuan pengesahan.
“Saya bergegas dari Seremban, Negeri Sembilan tadi dan tiba kira-kira pukul 9 malam. Selagi tidak jumpa (mayat) dia, saya berat untuk menerimanya. Ini terlalu drastik. Bagi saya, Khairil Azwan belum balik dari kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE