KLANG – Seorang penghantar makanan, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh dikatakan tidak sempat memenuhi pesanan makanan apabila maut dalam nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam, semalam.
Muhammad Hafiz, 32, semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan ke sebuah restoran di Bukit Jelutong bagi mengambil pesanan berupa sup gearbox.
Ketua kumpulan penghantar makanan Zon Subang 2, Mohd. Fairuz Imam Mahdi, 39, memberitahu, mangsa baru sahaja selesai menghantar makanan dari sebuah kedai makanan barat di sekitar kawasan Denai Alam kira-kira pukul 2.30 petang.
Katanya, bagaimanapun dia menerima tugasan terakhir bagi pesanan dan penghantaran ke Bukit Jelutong pada 11 minit kemudian sebelum berehat pukul 3 petang.
“Sistem menyatakan dia (Muhammad Hafiz) menerima tempahan itu dan kemungkinan besar dalam perjalanan ke Bukit Jelutong semasa kejadian tersebut.
“Namun, agak pelik apabila sistem penghantaran dihentikan dan pengemaskinian kedudukan Global Positioning System (GPS) juga tidak dapat dikesan,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar unit forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.
Bercerita lanjut, Mohd. Fairuz berkata, terdapat rakan-rakan penghantar ke lokasi kejadian namun tidak dapat mengesahkan Muhammad Hafiz selain motosikal tersebut telah terbakar sepenuhnya.
“Rakan kami yang menjadi orang pertama menyebarkan video nahas juga tidak perasan kerana tiada tanda-tanda ada penghantar Foodpanda terlibat.
“Pemakluman status Muhammad Hafiz hanya diketahui kira-kira pukul 8 malam selepas dihubungi waris mangsa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakan, Mohd. Noramin Ismail, 36, menjelaskan Allahyarham yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Pembinaan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah bekerja sebagai penghantar makanan sejak 2018.
Ujarnya, Allahyarham seorang yang senang berkawan dan tidak lokek dalam melemparkan senyuman.
“Kali terakhir berbual dengan Allahyarham adalah dalam kumpulan WhatsAp kira-kira pukul 2.31 petang dan ketika itu dia bertanyakan khabar.
“Saya kemudian mengajak untuk bersama-sama mendapatkan makanan percuma yang diedarkan McDonalds,” katanya..
Mengulas lanjut, Mohd. Noramin berkata, Allahyarham ada memaklumkan dan menjemput rakan-rakan penghantar untuk kenduri kahwin adik perempuannya di Sidam, Kedah pada 25 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE