PETALING JAYA – Berita mengenai nahas kapal terbang ringan di Elmina, Central Park, Seksyen U16, petang semalam, telah merenggut hati bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.
Mastura pernah melalui pengalaman hampir sama dan telah kehilangan suami tercinta, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dalam sebuah nahas helikopter, tujuh tahun lalu.
Menerusi hantarannya di laman Facebook, Mastura meluahkan kesedihan dan rasa simpatinya terhadap ahli keluarga 10 mangsa tragedi tersebut.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi kapal terbang terhempas di Elmina. Saya dan anak-anak sangat merasai kepedihan ini, umpama kehilangan hati dan jiwa.
“Ketika saya melihat video kejadian, saya mula sebak. Dalam hati, saya tertanya-tanya, mengapa begini. Saya mula menangis dan berdebar ketika memori tujuh tahun, tiga bulan lalu menghambat saya kembali,” katanya.
Tambah Mastura, dia sangat bersimpati dengan ahli keluarga mangsa dan berdoa agar mereka diberi kekuatan untuk berhadapan dengan ujian tersebut.
“Kehilangan ini amat mengejutkan dan sukar untuk dihadapi. Traumanya sangat perit. Hanya masa dan kekuatan diri sahaja dapat mengubat segalanya.
“Daripada pengalaman saya dan anak-anak, kami hanya berserah kepada Allah sahaja. Saya reda dengan ketentuan-Nya dan tiada tempat lagi saya memohon kekuatan berbanding daripada-Nya,” katanya dalam hantaran sama.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 475 tanda suka dan 39 komen. – KOSMO! ONLINE