fbpx

Nahas Elmina: Allahyarham Johari pemurah, tak lokek beri bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johar ketika ditemui di perkarangan kediaman Allahyarham di Ampang, hari ini.

AMPANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sangat terkenal dengan sifat pemurahnya dan tidak lokek memberi bantuan.

Menurut bekas pemandu peribadi beliau, Johar Ismail, 56, dia mengakui terkejut apabila mendengar berita mengenai nahas kapal terbang di Elmina Central Park, Seksyen U16, petang semalam yang melibatkan Allahyarham.

“Saya mendengar berita mengenai nahas tersebut daripada anak saudara saya. Sejurus selepas itu, saya terus bertolak dari Maran ke sini untuk menziarahi arwah.

“Sudah dua hari saya berada di sini. Apabila saya terima perkhabaran bahawa jenazah akan dibawa pulang Isnin nanti, saya ambil keputusan untuk pulang ke Maran dan datang semula minggu hadapan,” katanya.

Johar berkata, Allahyarham merupakan seorang yang penyabar dan sering membantu mereka sekeluarga terutamanya dari segi kewangan.

“Allahyarham tidak berkira untuk menghulur tangan dan membantu saya sekeluarga, kadangkala tanpa diminta. Beliau juga sering memberikan wang saku sekiranya saya turun melawatnya di Kuala Lumpur.

“Walaupun saya tidak lagi bekerja dengan arwah, beliau kerap menelefon untuk bertanya khabar, sekurang-kurangnya tiga bulan sekali,” katanya ketika ditemui di perkarangan kediaman Allahyarham di Ampang, hari ini.

Bertanya mengenai kenangan terindah bersama Allahyarham, Johar berkata, ada terlalu banyak kenangan manis bersama arwah sepanjang 12 tahun berkhidmat dengannya.

“Kenangan saya yang paling indah bersama arwah ialah ketika beliau mengajak saya menaiki helikopter untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan kenalan di Perak.

“Tetapi, itulah kali pertama dan terakhir saya menaiki helikopter walaupun sering diajak oleh beliau. Selepas itu, saya tidak berani lagi,” katanya.

Tambah Johar, Allahyarham juga merupakan seorang lelaki yang berpewatakan tegas, tetapi lemah lembut dan jarang meninggikan suara.

“Arwah kalau marah, dia tidak pernah meninggikan suara. Dia cuma tegur dengan nada bergurau.

“Kalau harini marah, esok beliau akan layan kita (pekerja) seperti biasa. Inilah yang membuatkan arwah sangat dekat dihati pekerjanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI