PADANG BESAR – Musang salai dan dadah jenis ganja, antara barangan seludup yang berjaya dirampas dalam Ops Tapis oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, operasi yang turut disertai Unit Narkotik Bahagian Penguatkuasaan JKDM Padang Besar itu bermula 11 Julai hingga 27 Julai lalu, di pintu masuk sempadan negara.
Katanya, pihaknya mengesan dan mematahkan tujuh kes penyeludupan iaitu tiga daripadanya diklasifikasikan penyeludupan barang dagangan, barang tidak berkastam (3) dan satu kes pengedaran dadah.
“Anggaran jumlah rampasan termasuk kenderaan yang disita adalah sebanyak RM268,035.56 dan keseluruhan duti serta cukai terlibat berjumlah RM53,855.29,” katanya pada sidang akbar, di sini hari ini.
Kata beliau, kes-kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu kegagalan membuat akuan barang berduti diimport dan Seksyen 135 (1)(e) bagi kesalahan mengangkut barang tidak berkastam atau larangan eksport.
“Antara barangan lain dirampas adalah alat ganti kenderaan, rokok putih dan kretek, minyak masak, beras pulut dan belon sarkas yang cuba diseludup keluar dan masuk pintu sempadan kedua negara,” ujarnya.
Menurut Ismail, dalam operasi itu, seorang warga Thailand yang cuba menyeludup masuk dadah jenis ganja seberat 450.20 gram bersama alat pembungkusan vakum dituduh di bawah Akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain itu Kastam Perlis juga menggagalkan cubaan seludup keluar empat ekor musang mati yang siap disalai untuk dijadikan makanan eksotik di negara jiran.
“Anggaran harga seekor musang salai itu boleh mencecah antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada saiz dan tahap kematangan haiwan tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, seorang individu tempatan turut ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 60 (1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE