PETALING JAYA – Lexus Malaysia telah melancarkan varian hibrid untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) RX dengan tanda nama RX 500h F SPORT.
Menurut Presiden Lexus Malaysia, Datuk Ravindran K, ia susulan pengenalan model Lexus RX 350 Luxury generasi kelima untuk pasaran tempatan pada Mei lalu.
Katanya, varian terbaharu itu menjadi penawaran tambahan penting bagi jenama Lexus di negara ini.
“Varian hibrid terbaharu bagi Lexus RX mempertemukan keanjalan, praktikaliti serta kemampuan off-road sebuah SUV dengan pengendalian, prestasi, kehalusan dan keselesaan sebuah sedan premium, dengan kelebihan sistem janaan hibrid yang lebih cekap.
“Model yang dinanti-nantikan ini meneruskan warisan yang telah menjadikan RX begitu berjaya, dan kini tampil dengan teknologi serta rekaan segar,” katanya.
Tambahnya, Lexus RX 500h F SPORT memperkukuhkan hasrat Lexus Malaysia untuk meningkatkan lagi pengalaman pemanduan pelanggan menuju masa depan yang lebih bersih dan neutraliti karbon.
“Melalui teknologi maju, kami telah mencapai puncak kecanggihan automotif dengan menawarkan prestasi dan keseronokan memandu secara sekaligus dengan RX 500h F SPORT.
“Peralihan ke arah elektrifikasi melalui teknologi hibrid ini akan diteruskan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang tetap inginkan keseronokan memandu tetapi tidak mahu terlalu bergantung kepada bahan api fosil,” tambahnya.
Lexus Malaysia menawarkan Lexus RX 500h F SPORT 2023 dalam empat warna luaran iaitu White Nova Glass, Sonic Iridium, Graphite Black Glass Flake dan Sonic Copper.
Tempahan akan dibuka bermula hari ini pada harga bermula dari RM498,888. Maklumat lanjut boleh didapati di www.lexus.com.my. – KOSMO! ONLINE