SEREMBAN – Seorang bekas pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara 38 tahun dan 17 sebatan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh dan mendatangkan kecederaan parah terhadap dua lelaki termasuk birasnya pada 2016.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Taufik Hidayah Abdullah, 34.
Bagi pertuduhan membunuh, Taufik dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, penjara lapan tahun yang berjalan secara berasingan serta lima sebatan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah meninggal dunia, melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Salman Raja Abdullah yang berusia 37 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam, 7 Ogos 2016 di Jalan Besar Papan Tanda, Taman Angsamas, Mambau, di sini.
Tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah menetak seorang lagi lelaki berusia 46 tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang, berhampiran dengan pintu masuk Jalan Indah Water, Mambau.
Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, manakala tertuduh diwakili peguam V Gobi. – KOSMO! ONLINE