fbpx

Ketahui mitos-mitos tentang demam denggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

BERBICARA tentang denggi, ia menjadi satu masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan masyarakat di negara ini.

Namun, kita masih bersikap ‘acuh tak acuh’ tentang masalah itu meskipun ia sebenarnya boleh meragut nyawa.

Biarpun demam denggi merupakan penyakit endemik di Malaysia, namun masih ada antara kita yang leka akan ancamannya.

Ada sesetengah orang yang terpedaya dan tersalah anggap dengan maklumat separuh benar sehinggakan boleh membawa kepada kemudaratan berbanding kebaikan.

Hal ini kerana ia mewujudkan perasaan selamat yang palsu. Ini menjadikan orang ramai terdedah kepada ancaman demam denggi sebenar.

Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Madya Dr. Verna Lee Kar Mun berkata, ada beberapa tanggapan salah mengenai demam denggi yang perlu dijelaskan dan ditangani.

Menurutnya, antaranya adalah mitos bahawa kita boleh dijangkiti demam denggi sekali sahaja seumur hidup.

“Demam denggi ada empat serotaip. Ini bermakna seseorang itu boleh dijangkiti sehingga empat kali iaitu sekali untuk setiap serotaip.

“Imuniti kekal hanya diperoleh jika seseorang itu sudah dijangkiti setiap satu daripada empat serotaip ini.

“Sebelum anda berfikir adalah lebih elok dijangkiti sebanyak empat kali, beringatlah bahawa kemungkinan besar jangkitan-jangkitan seterusnya adalah lebih teruk,” katanya.

DR. VERNA

Tambahnya, setiap jangkitan itu pula hanya meningkatkan peluang anda untuk mendapat demam denggi teruk.

Demam denggi teruk adalah penyakit serius yang memerlukan kemasukan ke hospital dan boleh membawa kepada akibat dahsyat seperti kegagalan organ.

Oleh itu, jangkitan berulang bukanlah idea yang baik untuk mendapatkan imuniti.

Selain itu, mitos kedua adalah selagi tidak rasa sakit, ia tidak berbahaya.

Secara fakta terdapat tiga tahap demam denggi. Ia bermula dengan fasa demam kuat secara tiba-tiba selama satu ke dua hari.

Ketika itu, pesakit berkemungkinan mengalami sakit-sakit badan, sakit kepala dengan sakit di belakang mata, muka menjadi merah dan kulit bertompok-tompok atau ruam.

Kemudian masuk pula fasa kritikal. Ironinya, ia datang selepas demam reda dan ramai yang merasakan mereka semakin sihat.

Namun, tempoh sehari dua itu boleh menyebabkan pesakit mengalami kejutan jika kapilari darah membocorkan plasma.

Ini akan membawa kepada penurunan tekanan darah secara mendadak. Fasa inilah yang akan menentukan sama ada pesakit itu menjadi lebih sihat iaitu memasuki fasa pemulihan (pesakit mampu menyerap semula cecair dan nadi menjadi stabil), atau menjadi lebih teruk serta menderita demam denggi teruk.

Dr. Verna menjelaskan, banyak penyakit virus seperti demam denggi boleh reda dan sembuh sendiri (self-limiting).

“Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya perlu merawat diri sendiri di rumah. Paling penting, minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi yang datang bersama kebocoran plasma,” jelasnya.

KULIT bertompok-tompok atau ruam merupakan salah satu simptom demam denggi.
– Gambar hiasan

Terangnya, sesiapa pun yang dijangkiti demam denggi perlu minum sekurang-kurangnya tiga liter air sehari pada tiga hari pertama.

Dalam pada itu, mitos lain yang sering kita dengar adalah demam denggi cuma penyakit biasa yang ringan, walaupun kebanyakan pesakit boleh sembuh di rumah. Ia tidak bermakna kita tidak perlu berwaspada.

Dr. Verna menjelaskan, dianggarkan satu peratus pesakit akan mengalami demam denggi teruk dikenali sebagai demam denggi berdarah yang memerlukan kemasukan ke hospital.

“Pendarahan boleh bermula di fasa demam, lazimnya dalam kulit dan gusi.

“Jika tidak diuruskan dengan betul, keadaan pesakit akan bertambah buruk semasa fasa kritikal.

“Ketika inilah kebanyakan akan pesakit masuk wad,” katanya.

Lanjutnya lagi, mereka yang mempunyai sistem imun sihat selalunya akan sembuh dalam dua hari.

Bagaimanapun katanya, jika berlaku komplikasi akibat radang organ dalaman seperti jantung, hati dan otak, ia boleh memakan masa seminggu atau lebih untuk sihat.

Selain itu, mitos keempat yang sering kita dengar adalah ujian demam denggi hanya boleh dibuat selepas sehari.

Dr. Verna berkata, memang benar gejala awal lazimnya tidak ketara kerana demam adalah tanda banyak penyakit lain.

“Pesakit denggi selalunya mengalami demam suhu tinggi secara tiba-tiba, sedangkan Covid-19 misalnya, permulaan demam itu lebih lambat.

“Ujian antigen pantas denggi S1 boleh mengesan demam denggi pada hari pertama.

“Oleh itu, usahlah berlengah-lengah untuk mendapatkan nasihat perubatan jika anda tiba-tiba mengalami demam panas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI