GEORGE TOWN – Semangat juang pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor, Rayyan Durrani Khairul Azhar,12, melawan penyakit ketumbuhan agresif dalam otak membuatkan ibu bapanya tidak berputus asa mencari penawar demi memulihkan kesihatannya.
Bapa Rayyan, Khairul Azhar Baba,39, berkata, beliau dan isterinya, Ista Zohra Suratin,39, tidak mengalah biarpun jangka hayat anak kedua daripada lima beradik itu dikatakan hanya mampu bertahan enam bulan lagi.
Menurutnya, ketumbuhan agresif atau ‘Paediatric Type Diffuse Midline Glioma (DMG)’ tahap empat itu adalah penyakit jarang jumpa (rare disease) dan prosedur percubaan klinikal bagi merawat penyakit Rayyan akan dilakukan di Korea, hujung bulan ini.
“Rayyan berusaha melawan penyakitnya dan sebagai ibu bapa, kami menggunakan kekuatan yang ada untuk mendapatkan maklumat dan membuat penyelidikan lanjut berhubung penyakit ini.
“Ketika Rayyan tidak sihat, rawatan dibuat di Hospital Island dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum kembali semula ke sini.
“Setelah berbincang bersama pasukan pakar yang merawat serta perunding pesakit (patient navigator) di Amsterdam, Rayyan telah berjaya didaftarkan ke dalam rawatan baharu melalui percubaan klinikal di Korea Selatan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Azhar yang bekerja sendiri berkata, sebahagian kos rawatan bakal ditaja oleh penganjur namun kos pengangkutan, perbelanjaan dan rawatan komplikasi dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.
“Mujurlah, ramai yang tampil membantu menghulurkan bantuan kewangan sekali gus bakal melancarkan proses rawatan Rayyan di sana.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang bermurah hati terutamanya warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang yang membantu mengumpulkan sejumlah besar wang dalam tempoh seminggu,” katanya.
Rayyan kini di bawah penjagaan pakar kanak-kanak, pakar neurologi dan pakar onkologi Hospital Island Pulau Pinang dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).
Terdahulu, beliau menerima sumbangan cek berjumlah RM131,409.06 yang disampaikan Pengarah (JPN) negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.
Sementara itu, Abdul Rashid berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban kos rawatan Rayyan. – KOSMO! ONLINE