PETALING JAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) telah selesai dan kini masa untuk mempertautkan ukhuwah serta memperkukuh perpaduan bagi membangunkan negeri dan negara secara bersama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Islam menganjurkan semua untuk berlapang dada dan mencari damai agar bersatu mengerah segala kudrat dan tenaga untuk bergerak secara kolektif dalam mewujudkan perubahan positif yang menyumbang ke arah kebaikan.
“Jadikanlah firman Allah SWT sebagai satu pegangan dan landasan utama untuk kita kembali bertaut setelah baru selesai fasa memilih wakil kepada rakyat untuk menggalas amanah yang diberikan.
“Ini masanya untuk kita berganding bahu membangunkan kehidupan yang harmoni dengan semangat saling hormat menghormati, berempati dan menjaga hak serta keadilan agar tertegaknya sebuah negara yang stabil dan sejahtera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO seterusnya menyeru kepada semua supaya berdoa ke hadrat Allah SWT agar wujudnya kesepakatan dan lahirnya kesepaduan di dalam meneguhkan perpaduan.
Menurut beliau, ia bagi terbinanya sebuah negara yang beroleh keberkatan Tuhan dan Malaysia terus berada di bawah lindungan rahmat Allah SWT. – KOSMO! ONLINE