fbpx

Ginjal babi ganti rawatan dialisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buah pinggang babi disediakan sebelum pemindahan kepada pesakit mati otak pada 19 Januari 2022. - AFP

LONDON – Satu kajian mendapati buah pinggang babi berfungsi selama 32 hari sekali gus rekod baharu selepas dipindahkan pada seorang pesakit mati otak, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Pemindahan ginjal babi yang diubah suai secara genetik kepada manusia pertama kali dilakukan pada 2022. Saintis-saintis merekodkan kemajuan baharu apabila berjaya menyokong fungsi buah pinggang selama beberapa minggu.

Perkembangan itu menyokong kemajuan pemindahan organ daripada satu spesies kepada spesies lain dikenali sebagai xenotransplant. Kaedah itu bo­leh digunakan sebagai rawatan penyakit buah pinggang peringkat akhir.

Mereka berharap kemajuan itu juga mampu membantu usaha menangani kekurangan bekalan buah pinggang yang kritikal di seluruh dunia.

Pengarang utama kajian, Jayme Locke merupakan pakar pemindahan organ di Universiti Alabama Birmingham (UAB). Beliau juga ialah Pengarah Institut Pemindahan Komprehensif di Sekolah Perubatan Marnic E Heersink. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Jama Surgery.

“Sungguh luar biasa untuk melihat demonstrasi praujian klinikal pertama di dunia apabila buah pinggang babi yang diubah suai mampu menyediakan fungsi normal ginjal manusia,” kata Locke.

Penemuan itu dicapai 19 bulan selepas saintis-saintis UAB pertama kali memindahkan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada manusia pada tahun lalu.

Kajian baharu itu pula dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 52 tahun yang tidak didedahkan identitinya atas permintaan ­keluarga pesakit.

Semasa kajian, saintis menge­luarkan kedua-dua buah pinggang pesakit itu dan menghentikan proses dialisis ke atasnya sebelum memasukkan organ da­ripada babi selepas didapati sepadan.

Buah pinggang babi yang di­pindahkan mengeluarkan air ken­cing dalam masa empat minit, menghasilkan lebih daripada 37 liter dalam 24 jam pertama.
Ia terus berfungsi semasa ke­seluruhan kajian, kata pasukan penyelidik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI