JOHOR BAHRU – Pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan diumumkan di Pusat Khidmat Simpang Jeram, Muar pada Rabu ini.
Perkara itu diumumkan pada sidang akhbar bersama antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi PH Johor, Amilnolhuda Hassan yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Aminolhuda berkata, majlis pengumuman calon itu akan dihadiri Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Walaupun tidak mendedahkan nama calon tersebut, Aminolhuda memberitahu, calon yang akan bertanding di dua kerusi itu adalah anak jati negeri ini.
“Nama calon tersebut telah dimuktamadkan di peringkat Pusat dan tidak akan berlaku pertukaran setelah ia dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Sehubungan itu, kita akan memperkenalkan kedua-dua calon tersebut pada program yang akan diadakan di Pusat Khidmat Simpang Jeram pada 23 Ogos ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.
Sebelum program pengumuman calon itu diadakan, Amanah akan mengadakan majlis tahlil kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub di masjid berhampiran dengan pusat khidmat tersebut.
Terdahulu, Mohamed Khaled dan Aminolhuda bersama pemimpin tertinggi parti BN dan Amanah Johor mengadakan mesyuarat selama lebih sejam bagi memperincikan perkara berkaitan PRK antaranya gerak kerja dan calon yang akan diperkenalkan.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya berkata, calon yang telah dipilih mempunyai pendidikan tinggi dan pertama kali bertanding di kawasan tersebut.-KOSMO! ONLINE.