JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor mengadakan pertemuan di Bangunan UMNO Johor, bagi membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Pertemuan yang diadakan secara tertutup itu difahamkan bagi membincangkan perkara berkaitan PRK mengenai cadangan calon yang akan diletakkan, selain gerak kerja jentera membabitkan kedua-dua parti.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang tiba lebih awal dilihat menyambut kedatangan Timbalan Pengerusi PH Johor, Amilnolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Mesyuarat tertutup itu bermula kira-kira pukul 3.15 petang selepas kesemua pemimpin utama bergerak ke bilik mesyuarat di bangunan itu.
Difahamkan, ini adalah pertama kali Aminolhuda dan Suhaizan hadir ke Bangunan UMNO Johor itu sejak kerjasama politik dijalinkan antara BN dan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. – KOSMO! ONLINE