fbpx

Bangga! Ella sekarang memang hebat – Lord Lokman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LORD Lokman yang merupakan pengasas kumpulan Ella & The Boys mendedahkan pernah menulis satu lagu untuk rocker itu selepas dia mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut suatu ketika dahulu.

PENDAM sekian lama, pengasas kumpulan Ella & The Boys, Lord Lokman mendedahkan ratu rock negara itu pernah ‘ditolak’ pengurus artis tersohor, Mike Bernie Chin ketika diperkenalkan sekitar era 1980-an.

Katanya, dia menunggu berjam-jam untuk bertemu personaliti berpengaruh yang ketika itu menguruskan karier Datuk Sudirman dan Noor Kumalasari, namun akhirnya kecewa selepas mendiang membuang gambar Ella.

“Saya terkilan sebab Mike tak dengar pun lagi Ella nyanyi. Masa itu niat saya memang nak jadikan Ella terkenal sebab empat tahun saya persiapkannya untuk masuk arus perdana bermula dari tingkatan 2.

“Bersama vokal mantap dan pengalaman menyanyi di kelab, saya yakin Ella boleh pergi jauh sebagai penyanyi rock hebat. Jadi saya nak tunjukkan portfolio Ella kepada Mike.

“Saya tunggu dari pukul 9 pagi sampai 6 petang, terus kena reject. Iyalah, gambar tanpa solekan. Beberapa bulan kemudian dia jumpa saya semula, tanya kenapa saya tak cakap yang Ella bagus?” katanya selepas sidang media Battle of the Band (BOTB), baru-baru ini.

Dalam pertandingan anjuran MASH Entertainment Sdn. Bhd. itu, Lord bersama Baggio Damasutra, Acid Ekamatra dan Hamdan Bloodshed diamanahkan sebagai mentor kepada band yang bertanding.

Jumpa Ella usia belasan

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Ahmad Lokman Ismail, 66, turut mengimbas memori penyatuan kumpulannya dengan gadis belasan tahun itu hingga mereka bersatu sebagai Ella & The Boys.

Memulakan langkah beraksi di sebuah pusat hiburan di Bangsar, pengalaman bersama figura yang menjadi kesayangan peminat itu nyata masih segar dalam ingatan.

Kongsi pemuzik asal Kelantan itu, dia kebetulan berjumpa Ella bersama Allahyarham bapanya, Aminuddin Manap buat kali pertama di sebuah kelab ketika bakat muda itu sedang menunggu giliran mahu menyanyi.

“Waktu itu Ella masih muda sangat tetapi punya impian besar nak jadi penyanyi dan disokong bapanya. Di kelab tersebut dia diberi peluang menyanyi ketika artis residen berehat sekejap.

“Saya kemudian bincang dengan bapanya mahu ambil dia jadi vokalis. Memang bapanya bagi kepercayaan kepada saya dan arwah isteri saya ketika itu untuk menjaganya.

“Kami menghiburkan pengunjung di kelab di Jalan Telawi, Bangsar hampir setiap malam. Kiranya ambil masa dua tahun juga untuk dia betul-betul dapat tampil bersama The Boys,” katanya mengenai Ella yang sempat menghasilkan empat album di bawah jenama Ella & The Boys.

Patah hati

Menganggap episod ‘kehilangan’ vokalis wanita mereka itu sebagai momen pahit, Lord mendedahkan dirinya patah hati selepas Ella mengambil keputusan bergerak solo.

“Kami bersatu dari 1982 hingga menghampiri tahun 1988 dengan menghasilkan empat album. Tentu semua terkilan apabila dia keluar daripada The Boys.

“Mungkin saya sendiri kecewa hingga tidak bercakap lagi dengan Ella gara-gara tindakannya. Setahun kemudian kami ambil Shima pula menggantikan posisi dikosongkan Ella,” kenang Lord lagi.

Begitupun, perang dingin yang berlaku dia tetap tidak mampu menyembunyikan perasaan bangga melihat pencapaian penyanyi asuhannya melakar kejayaan tersendiri bermula dengan album Pengemis Cinta.

Tidak hairan apabila secara diam-diam pemain gitar itu mencipta lagu Layar Impian khas untuk Ella yang kemudian dimasukkan ke dalam album Demi Ella terbitan 1996.

“Layar Impian sebenarnya saya cipta khas untuk Ella, jadi walaupun kami tidak bercakap, saya minta adik saya, Satiman berikan lagu tersebut kepadanya tanpa memaklumkan itu gubahan saya.

“Dalam kulit album memang nama Satiman, tetapi selepas 27 tahun baru saya dedahkan rahsia ini. Persahabatan kami pun telah kembali bertahun-tahun sebelum ini. Suami Ella, Kapten Azhar Husaini yang rapatkan kami semula.

“Saya terharu apabila Ella mengundang saya beraksi di Konsert Puteri Kota di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini. Melihat perjalanan kariernya, Ella memang layak berada di tahap sekarang,” katanya lagi.

Selain Ella dan Lord, kumpulan rock yang ditubuhkan sejak 1981 itu pada awalnya turut dibarisi Ayie selaku pemain basis, Satiman (keyboard) selain Azzarul dan Mie (dram).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI