NEW DELHI, India – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan sidang kemuncak pertama mengenai perubatan tradisional dengan amaran bahawa rawatan berasaskan produk semula jadi boleh menjadi kaedah penjagaan kesihatan alternatif yang berkesan hanya jika terbukti secara saintifik.
Perubatan tradisional ‘menjadi kaedah pertama kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia’, kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tersebut.
Sidang kemuncak di India hari ini menghimpunkan penggubal dasar dan ahli akademik bertujuan untuk ‘menggerakkan komitmen politik dan tindakan berasaskan bukti’ bagi tujuan itu.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, perubatan tradisional boleh meningkatkan ‘jurang akses’ kepada penjagaan kesihatan, namun ia hanya bermanfaat jika digunakan secara ‘bersesuaian, berkesan dan selamat berdasarkan bukti saintifik terkini’.
Sidang kemuncak selama dua hari itu berlangsung sebagai acara sampingan kepada mesyuarat menteri kesihatan negara-negara Kumpulan 20 (G20) di bandar Gandhinagar, negeri Gujarat.
“Memajukan sains melibatkan perubatan tradisional harus berteraskan piawaian ketat yang sama seperti bidang kesihatan lain,” kata ketua penyelidik WHO John Reeder dalam satu kenyataan.
Sidang kemuncak itu yang akan menjadi acara tahunan, menyusuli pembukaan Pusat Perubatan Tradisional Global WHO tahun lalu, juga di negeri Gujarat, India. – AFP