fbpx

Signatur kacang pool resipi Arab Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KACANG pool merupakan hidangan signatur di gerai Pak Habib.

KEPEKATAN tekstur hidangan kuah kacang pool membangkitkan lagi rasa kacang parang yang dikisar halus bersama ramuan rempah-ratus terpilih.

Hidangan signatur gerai Pak Habib Sri Lalang di Mersing, Johor itu dilengkapi dengan telur goreng, bawang merah cincang, hirisan cili hijau serta limau kasturi.

Makanan unik berasal dari Asia Barat itu turut dihidangkan bersama sekeping roti bakar lembut yang telah disapu mentega.

Mengikut cara makan orang Johor, roti tersebut dicicah ke dalam kuah kacang pool untuk menghasilkan keseimbangan rasa.

Pemilik gerai Pak Habib Sri Lalang, Abdul Rahman Sheik Abdul Rahim berkata, hidangan kacang pool di gerainya tidak sama dengan resipi yang sering ditawarkan di Johor.

Katanya, resepi kuah kacang pool di gerainya merupakan resepi autentik, tanpa sebarang elemen fusion atau olahan tempatan.

“Kami menggunakan 100 peratus kacang parang sebenar yang diadun bersama ramuan rempah terpilih.

“Kami tidak campur dengan baked beans seperti kebanyakan resipi di Johor.

“Kuah kami juga tidak dicampurkan bersama daging cincang.

“Ini kerana resipi kami adalah resipi turun-temurun keluarga saya yang berketurunan Arab Singapura,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Gerai Pak Habib Sri Lalang diusahakan oleh bapa kepada Abdul Rahman sejak 2017 di tanah pusaka keluarga mereka dengan berkonsepkan gerai sarapan pagi.

ABDUL RAHMAN (duduk) bergambar bersama seleksi hidangan dan para pekerja di gerai Pak Habib, Sri Lalang, Mersing, Johor.

Namun pada tahun 2019, peniaga berusia 38 itu pulang dari perantauan untuk mengambil alih perniagaan tersebut daripada bapanya yang semakin dimamah usia.

Berdasar pengalaman di negeri orang, Abdul Rahman menambah beberapa lagi menu dari luar Johor untuk dinikmati oleh pelanggannya.

Antaranya adalah nasi ayam penyet, yee mee sizzling, mi kari, mi kicap, laksa Ipoh dan bihun sup skiru.

Tambahnya, waktu operasi gerai makannya juga dilanjutkan sehingga pukul 5 petang pada setiap hari kecuali Jumaat.

“Isteri saya orang Perak, jadi kami terapkan resepi mi kari, laksa, bihun sup skiru dan mi kicap dari negeri tersebut.

“Saya juga memasukkan roti sangkaya ala Thai dan roti sardin leleh bagi menambahkan lagi variasi menu di gerai ini,” tuturnya.

Bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di tepi pantai Mersing, gerai tersebut turut menawarkan makanan ringan. Antara makanan ringan paling mendapat tempat di hati pelanggan gerai tersebut adalah rojak celaru.

“Kami juga menawarkan rojak untuk pelanggan yang mahu makanan ringan setelah berjalan-jalan di pantai.

“Rojak kami padat dengan isi iaitu tahu bakar, sotong kembang, keropok lekor, kangkung dan tauge,” katanya.

Bagi seleksi minuman dan pencuci mulut pula, pelanggan boleh memesan teh tarik buih, ais jagung dan roti bakar aiskrim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI