PENNSYLVANIA – Bintang Inter Miami, Lionel Messi terus menampilkan aksi memukau dalam kancah bola sepak Amerika Syarikat (AS) apabila membantu pasukan itu melangkah ke perlawanan akhir Piala Liga.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Subaru Park awal pagi semalam, Miami berjaya memastikan slot ke perlawanan akhir milik mereka selepas menyingkirkan Philadelphia Union menerusi kemenangan besar 4-1.
Jurulatih Miami, Gerardo Martino menganggap kemenangan tersebut dibantu oleh komitmen tinggi yang ditunjukkan Messi dalam setiap perlawanan sehingga membangkitkan semangat juang rakan-rakan sepasukan lain.
“Dia (Messi) sentiasa bekerja keras sehingga menyuntik semangat rakan sepasukannya untuk menampilkan aksi terbaik. Mungkin dalam pasukan ada isu tetapi semuanya sudah berubah dan semakin baik.
“Hari ini (semalam) kami menampilkan aksi cukup kompetitif dan pemain-pemain ini menyebabkan saya pening untuk memilih kesebelasan utama terbaik. Saya gembira dengan keputusan yang dilakar,” katanya.
Pada perlawanan itu, Miami menjaringkan empat gol menerusi Josef Martinez, Messi, Jordi Alba dan David Ruiz, manakala gol tunggal pasukan lawan hadir menerusi jaringan Alejandro Bedoya.
“Memang benar kami sudah layak ke final, namun apa yang paling penting adalah melayakkan diri ke Piala Juara-Juara Concacaf. Sekarang kami perlu bersiap sedia untuk perlawanan akhir nanti,” ujar Martino. – AGENSI