PETALING JAYA – Kumpulan Samling telah dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij Pengilang Kayu Paling Pelbagai dan Nilai Tambah oleh Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50.
Anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan atas usaha bersepadu Samling dalam mempelbagaikan operasinya dengan lebih menekankan kepada pengeluaran nilai tambah tinggi terutamanya untuk pasaran eksport.
Menurut STIDC, usaha Samling adalah selaras dengan usaha dan sumbangan besar syarikat kepada kerajaan negeri Sarawak untuk meningkatkan pembangunan industri perkayuan selain untuk mencapai sasaran jumlah pendapatan eksport tahunan sebanyak RM8 bilion menjelang 2030.
“Di bawah strategi pembangunan pasca-Covid 2030, kerajaan negeri sedang menggiatkan usaha untuk mengubah industri perkayuan menjadi sektor nilai ditambah dan pendapatan tinggi dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran panel kayu, kayu kejuruteraan, perabot dan produk buluh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Samling diiktiraf sebagai syarikat yang paling banyak melaksanakan kepelbagaian dan langkah-langkah menambah nilai yang menyumbang kepada jumlah pendapatan eksportnya sebanyak RM544 juta pada 2022.
“Ini termasuk RM42 juta dalam eksport perabot dan sumbangan besar sebanyak 75 peratus kepada jumlah keseluruhan negeri,” jelasnya.
Melalui tenaga kerja seramai 4,000 orang dalam sektor hiliran sahaja, syarikat itu juga diiktiraf atas keterangkuman sosial dan tanggungjawab sosial korporat yang lain.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kepada Ketua Pegawai Eksekutif Samling, Lawrence Chia di Pusat Konvensyen Borneo di Kuching baru-baru ini
Mengulas mengenai anugerah tersebut, Chia menjelaskan, anugerah tersebut adalah bukti strategi Timber 2.0 syarikat yang mahu memacu syarikat ke arah peningkatan pengeluaran nilai tambah menggunakan sumber daripada hutan yang ditanam.
Samling diiktiraf kerana menggunakan bahan mentah yang tinggi daripada perladangan dalam aktiviti pengeluaran hiliran yang kini telah mencapai 90 peratus.
“Kami menyasarkan untuk mencapai penggunaan sehingga 100 peratus dalam tempoh dua tahun.
“Kami mempunyai rancangan berpotensi ke arah neutraliti karbon dalam beberapa tahun akan datang dan untuk mencapai sisa sifar dalam keseluruhan proses pengeluaran kami,” ujarnya.
Tambah beliau, pada asasnya syarikat bukan sahaja menggunakan sumber dari ladang syarikat dalam pengeluaran hiliran papan lapis, perabot dan kabinet dapur, tetapi juga ia menggunakan sisa kayu dari ladang untuk menghasilkan pelet kayu bagi memastikan tiada apa-apa pembaziran,” katanya. -KOSMO!ONLINE