KUALA LUMPUR – Aktiviti pembelajaran di luar sekolah sebanyak dua kali setahun untuk setiap murid perlu segera disahut oleh pihak sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah perlu mula menyediakan program-program yang efektif dan efisien untuk tujuan tersebut.
“Kita sedang menggerakkan agenda penididikan yang penting iaitu pembelajaran di luar kelas. Sebab itu bila kita umum berkenaan lawatan anak keluar dari sekolah ia harus segera disambut oleh semua sekolah.
“Sebelum ini setiap sekolah cuma dua kali setahun saja untuk lawatan. Kali ini setiap anak-anak (murid) ada peluang untuk keluar dan nikmati lawatan sebanyak dua kali setahun.
“Salah satu program yang kita dapat sokongan adalah lawatan ke Muzium Negara,” katanya pada Pelancaran Eksplorasi Merdeka@Muzium di Dataran Muzium Negara di sini semalam.
Fadhlina berkata, para guru tidak perlu bimbang dan boleh mula merancang lawatan ke luar sekolah kerana ia adalah sebahagian daripada aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP)
Menurut beliau, lawatan ke Muzium Negara antara contoh aktiviti luar sekolah yang boleh memberi banyak manfaat kepada murid.
Jelas beliau, lawatan ke muzium membolehkan murid mempelajari tentang sejarah, tokoh-tokoh serta melihat monumen dan artifak dipamerkan.
“Pihak muzium turut mengadakan program bermalam di muzium. Ini satu program yang sangat baik untuk membolehkan lebih banyak aktiviti pembelajaran di muzium,” katanya. – KOSMO! ONLINE