SHAH ALAM – Penduduk setempat tidak melepaskan peluang melihat sendiri lokasi kejadian bagi mengetahui nahas jet peribadi jenis Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, petang tadi.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati, jumlah penduduk setempat memenuhi di sekitar lokasi nahas dan jumlahnya tidak pernah kurang sejak pukul 4 petang tadi.
Sementara itu, dari sudut badan anggota penguatkuasa pula, pelbagai persiapan dilakukan termasuk membangunkan khemah dan radius kawasan larangan turut dibesarkan.
Antara agensi yang dilihat tiba di lokasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan 10 lelaki tempatan disahkan maut dalam nahas jet peribadi jenis Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.40 petang bagaimanapun dipercayai hilang kawalan sebelum terhempas.-KOSMO! ONLINE.